Tingkatkan Thaqafah Kita - Selami Majmu` Rasa'il

Posted by fatahensem | Posted in | Posted on 7:12 AM



Petikan daripada Majmuk Rasail karangan Al-Banna

Barangkali Allah telah takdirkan dakwah Ikhwan ini tumbuh di Ismailiah. Ia muncul akibat perselisihan fikah antara dua kumpulan penduduk. Mereka berpecah selama bertahun-tahun kerana beberapa masalah kecil. Malangnya perpecahan ini dihangatkan lagi oleh mereka yang berkepentingan. Secara kebetulan juga dakwah Ikhwan muncul pada zaman berlakunya pertembungan sengit antara bangsa asing yang ekstrimis dengan pejuang patriotik. Segala keadaan ini menyebabkan dakwah ini memiliki beberapa ciri yang tidak dimiliki oleh gerakan-gerakan lain yang sezaman dengannya.

Ciri-ciri tersebut ialah:

1. Menjauhi perkara-perkara yang menjadi perselisihan.

2. Menjauhi pengaruh mana-mana tokoh dan pembesar.

3. Tidak terlibat dengan parti-parti politik atau mana-mana pertubuhan.

4. Tumpuan diberikan kepada aspek pembinaan dan berperingkat dalam setiap langkah.

5. Keutamaan diberikan kepada aspek yang praktikal dan produktif berbanding aspek diayah dan propaganda.

6. Sambutan hebat daripada pemuda.

7. Cepat tersebar di kampung dan seluruh negara.

1. Menjauhi Perkara-Perkara Yang Menjadi Perselisihan


Ikhwan menjauhkan diri daripada perkara-perkara fikah yang diperselisihkan kerana Ikhwan berkeyakinan perselisihan dalam masalah fikah yang kecil pasti akan timbul. Puncanya, sumber asasi Islam iaitu al-Quran, hadis dan amalan-amalan Islam difahami dengan cara yang berbeza-beza. Malah atas sebab yang sama wujud perbezaan pendapat di kalangan para sahabat sendiri. Keadaan ini akan terus wujud dan akan berterusan hingga ke hari kiamat. Tepat sekali kata-kata Imam Malik ketika beliau berkata kepada Abu Jaafar al-Mansur yang mahu memaksa masyarakat melaksanakan al-Muwatta’, beliau berkata: “Para sahabat Rasulullah s.a.w. bertaburan di seluruh pelusuk bumi dan kesemua mereka mempunyai fahaman tersendiri. Jika engkau paksa mereka mengamalkan satu pendapat sahaja sudah tentu akan timbul masalah.”

Sebenarnya tidak salah berbeza pendapat tetapi yang salah ialah terlalu fanatik dengan sesuatu pendapat sehingga mengenepikan fikiran dan pendapat orang lain. Jika sikap seperti ini diamalkan dalam soal perbezaan pendapat, ia sudah tentu akan mampu menyatukan hati-hati yang retak. Apatah lagi untuk menyatukan mereka dalam satu gagasan.

Masyarakat hanya perlu bersatu pendapat dalam soal yang perlu iaitu dalam soal yang menentukan seseorang itu muslim seperti yang dikatakan oleh Zaid r.a.. Sikap seperti ini adalah perlu bagi sebuah jamaah yang mahu mengembangkan suatu gagasan di sebuah kawasan yang tidak pernah aman daripada perbezaan pendapat. Apatah lagi masalah tersebut sebenarnya tidak perlu dibahaskan atau diperselisihkan.

2. Menjauhi Pengaruh Mana-Mana Tokoh Dan Pembesar

Menjauhi pengaruh mana-mana tokoh dan pembesar bertujuan supaya mereka dapat dijauhkan daripada dakwah yang masih baru dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan ini. Mudah-mudahan mereka akan beralih kepada gerakan-gerakan lain yang sedia ada yang hanya mencari keuntungan atau mengaut kekayaan. Walaupun sebenarnya semua keuntungan itu hanyalah khayalan dan bukan kenyataan.

Kami para pendokong dakwah Ikhwan sengaja bersikap demikian pada peringkat awal kemunculan dakwah ini supaya kesucian dakwah ini tidak diwarnai oleh perancangan yang telah diatur oleh para pemimpin tadi. Di samping itu langkah ini juga bertujuan agar mereka tidak mengeksploitasi dakwah ini atau cuba mengubah halatuju dakwah ini. Kebanyakan pemimpin ini tidak memiliki nilai-nilai Islam yang sempurna yang sepatutnya mereka miliki sebagai seorang muslim. Apatah lagi sebagai seorang muslim agung yang akan menampilkan nama dakwah Islam kepada semua manusia. Atas sebab itulah, golongan ini masih tersisih jauh daripada Ikhwan. Hanya segelintir kecil sahaja di kalangan mereka yang memiliki akhlak yang mulia dan dihormati, memahami fikrah Ikhwan, turut sama mendokong matlamat Ikhwan, turut serta beramal bersama Ikhwan dan mengharapkan taufik serta kejayaan untuk Ikhwan.

3. Tidak Terlibat Dengan Parti-Parti Politik Atau Mana-Mana Pertubuhan

Tujuan kita tidak terlibat dengan mana-mana parti politik atau mana-mana pertubuhan ialah semua pertubuhan ini masih saling bercakaran dan saling tikam-menikam antara satu sama lain. Sedangkan amalan seperti ini tidak bertepatan sama sekali dengan semangat persaudaraan Islam. Dakwah Islam adalah untuk semua. Dakwah ini menyatukan bukan memecah belahkan. Hanya mereka yang mengenepikan segala bentuk perpecahan dan ikhlas hanya kepada Allah sahaja yang akan mendokong dan bekerja untuk dakwah Islam ini. Sifat seperti ini agak sukar untuk diamalkan oleh manusia yang berkepentingan; Mereka yang hanya mahu mencari nama dan harta melalui kegiatan kepartian dan pertubuhan mereka. Atas sebab itu, kita lebih rela menjauhkan diri daripada mereka. Kita perlu bersabar walaupun terpaksa mengenepikan ramai anasir yang baik sehinggalah sampai masanya apabila segala tirai ini berjaya disingkap. Sehingga masyarakat menyedari beberapa hakikat yang selama ini tidak mereka fahami. Ketika itu mereka akan kembali ke jalan yang benar. Iaitu setelah mereka melalui segala pahit manis. Setelah hati mereka berisi keyakinan dan keimanan.

Namun pada hari ini kita telah memiliki sandaran dan tunjang dakwah yang kuat. Dakwah ini kini mampu menentukan sendiri halatuju bukan lagi ditentukan. Dakwah ini sudah mampu mempengaruhi bukan lagi dipengaruhi. Oleh itu kita kini mengalu-alukan para pemimpin, pembesar, pertubuhan dan parti untuk bergabung bersama kita. Kita kini mengalu-alukan mereka mengikut jalan kita dan bekerja bersama kita dengan membuang segala budaya sia-sia yang diamalkan selama ini. Agar mereka bersatu di bawah panji al-Quran yang agung, bernaung di bawah panji nabi yang mulia dan ajaran Islam yang benar. Jika mereka menyahut pelawaan ini ia adalah untuk kebaikan dan kebahagiaan mereka di dunia dan akhirat. Dengan kewujudan mereka bersama dakwah ini, banyak masa dan tenaga dapat dijimatkan. Namun jika mereka masih enggan, tidak mengapa. Kita akan bersabar menanti sambil mengharapkan segala-galanya pada Allah. Sehingga Allah mengepung mereka dan memaksa mereka supaya bekerja untuk dakwah sebagai pengikut sedangkan mereka mampu menjadi pemimpin. Allah pasti akan menang malangnya kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.

4. Beransur-ansur Dalam Setiap Langkah

Berperingkat, menekankan aspek tarbiyah, di samping memahami dengan jelas setiap langkah yang dilalui oleh Ikhwan al-Muslimin. Semua ini diambil kerana Ikhwan meyakini bahawa mana-mana gerakan perlu melalui tiga fasa (marhalah) iaitu fasa penerangan, menyebarkan fikrah dan menyampaikannya kepada segenap lapisan masyarakat. Fasa seterusnya adalah fasa pembinaan, memilih pendokong, membentuk kader dan menggabungkan mereka yang diseru tadi. Fasa berikutnya adalah fasa pelaksanaan, beramal dan mengeluarkan hasil. Pada kebiasaannya ketiga-tiga fasa ini berjalan serentak bergantung kepada keutuhan dakwah dan kekuatan hubungan sesama pendokong dakwah. Ini bermakna seorang pendakwah akan berdakwah, dalam masa yang sama dia akan memilih dan mendidik, dalam masa yang sama juga dia akan bekerja dan melaksana.

Sudah tentu, matlamat akhir atau hasil keseluruhan hanya akan dapat dirasai apabila penerangan telah cukup meluas, pendokong telah bertambah ramai dan pembinaan telah mantap.

Dakwah kita telah bergerak berpandukan ketiga-tiga fasa ini dan ia masih terus bergerak. Kita telah mulakan dakwah ini. Kita telah kemukakan dakwah ini kepada umat Islam melalui pelbagai siri pengajian, melalui lawatan-lawatan dari semasa ke semasa, melalui pelbagai bahan cetakan, melalui keramaian terbuka mahupun tertutup, melalui akhbar Ikhwan al-Muslimin yang pertama kemudian diikuti dengan majalah mingguan al-Nazir. Kita masih berdakwah dan kita akan terus berdakwah sehingga semua orang tahu tentang dakwah Ikhwan al-Muslimin yang sebenar dengan gambaran yang betul. Allah pasti akan menyempurnakan cahaya-Nya.

Pada tahap ini, saya merasakan kita telah tiba ke satu tahap di mana kita merasa yakin bahawa kita telah melakukan segala-galanya. Hasilnya, setiap orang yang beriltizam dengan tanggungjawab yang telah kita gariskan kini boleh melangkah ke fasa kedua iaitu fasa memilih, membina dan mengerah tenaga.

Kita melangkah ke fasa kedua melalui tiga cara:

1. Katibah. Bertujuan menguatkan saf melalui saling kenal mengenali, menjalinkan semua jiwa dan roh, menentang adat kebiasaan, berlatih supaya mempunyai hubungan yang erat dengan Allah dan mengharapkan bantuan-Nya. Ini adalah institut pentarbiyahan rohani Ikhwan al-Muslimin.

2. Pasukan pengakap, peninjau, pengembara dan sukan. Langkah ini bertujuan menguatkan saf dengan meningkatkan jasmani Ikhwan, membiasakan Ikhwan supaya taat, berdisiplin, memiliki ciri-ciri kesukanan yang baik, mendidik mereka dengan ciri-ciri ketenteraan yang betul sebagaimana diwajibkan oleh Islam kepada semua muslim. Ini adalah institut pendidikan jasmani Ikhwan al-Muslimin.

3. Pengajian ilmu melalui katibah atau pusat-pusat Ikhwan al-Muslimin. Langkah ini bertujuan meningkatkan fahaman Ikhwan melalui perbincangan menyeluruh yang menyentuh perkara-perkara penting yang perlu diketahui oleh seorang saudara muslim berkenaan agama dan dunianya. Ini adalah institut pendidikan ilmu dan pemikiran Ikhwan al-Muslimin.

Selain itu, terdapat pelbagai kegiatan lain yang bertujuan melatih Ikhwan melaksanakan tanggungjawab yang menanti mereka sebagai sebuah jamaah yang mempersiapkan diri untuk memimpin umat Islam malah untuk membimbing seluruh manusia.

Selepas kita yakin dengan kedudukan kita dalam fasa ini, barulah dengan izin Allah kita akan melangkah ke fasa ketiga iaitu fasa pelaksanaan yang akan menunjukkan hasil lengkap dakwah Ikhwan al-Muslimin.

Telus

Wahai Ikhwan al-Muslimin terutama mereka yang bersemangat dan gopoh, dengarlah kata-kata saya yang bergema dari atas pentas dalam perhimpunan agung ini. Segala langkah dan sempadan dalam jalan kamu ini telahpun digariskan. Saya tidak akan melanggar sempadan ini yang saya sendiri yakini sepenuhnya bahawa ia adalah jalan yang paling selamat untuk sampai ke matlamat. Benar, jalan ini mungkin jauh namun tiada jalan lain selain jalan ini. Kejantanan akan terserlah melalui keupayaan untuk bersabar, tabah, gigih dan usaha yang berterusan. Sesiapa di kalangan kamu yang terlalu cepat mahu mengutip hasil sebelum tempoh matang atau memetik bunga sebelum sampai masanya maka saya tidak akan bersetuju dengannya sama sekali. Lebih baik dia berundur daripada dakwah ini kepada gerakan lain. Sesiapa yang mampu bersabar dengan saya hingga benih tadi berkembang, tumbuh sebagai pokok, mengeluarkan buah yang baik dan tiba masa untuk memetiknya maka kesabarannya akan diberikan ganjaran oleh Allah. Kita akan memperolehi salah satu daripada ganjaran berikut iaitu kemenangan dan ketuanan atau mati syahid dan kebahagiaan yang abadi.

Comments (0)