TOKOH PERJUANGAN ANTARABANGSA

0

Posted by Tanpa Nama | Posted in | Posted on 7:47 AM


El Hajj Malik el-Shabazz

oleh: pelitaperjalanan.blogspot.com

Di mana-mana sahaja di pelosok dunia, terdapat cahaya-cahaya perjuangan Islam yang dibawa oleh insan-insan yang telah diberi hidayah oleh Allah swt. Tidak kira samaada mereka orang Arab atau tidak, namun jika mereka memahami hakikat Islam yang sebenar, mereka akan terkesan dengan kehebatan cara hidup beragama Islam yang indah dan syumul. Kisah hidup Malik el- Shabbaz menjadi pengajaran kepada kita bagaimana teguhnya memperjuangkan kebenaran, melawan taghut kebatilan dan penyelewengan, serta kembali kepada ajaran Islam yang suci dan bebas daripada unsur Jahiliah.


El Hajj Malik el Shabazz, atau lebih dikenali sebagai Malcolm X di kalangan masyarakat bukan Muslim Amerika, ialah seorang insan yang sangat berkebolehan dan disegani. Kisah hebat sejarah hidupnya bermula sejak usia mudanya lagi. Anak kepada seorang Garveyite (pengikut Marcus Aurelius Garvey) ini sentiasa terkenang seluruh hayatnya kejadian menyayat hati yang telah membunuh ayahnya di tangan sekumpulan pelampau Kulit Putih. Malik Shabazz dilahirkan sebagai Malcolm Little di Omaha, Nebraska pada 19 May 1925. Beliau adalah anak keempat daripada lapan kepada pasangan Reverend Earl Little, seorang pendakwah Kristian, dan Louise, seorang wanita West Indies yang berkulit agak cerah. Disebabkan latarbelakang warna kulitnya, Malcolm terpaksa menanggung kebencian pelampau Kulit Putih yang sangsi dengan asalnya, sama seperti yang ditanggung oleh ayahnya sebelum dia dibunuh.


Kesukaran hidup dalam arus perkauman yang menekan ditambah pula dengan kekurangan harta dan bimbingan ibubapa, Malcolm Little tenggelam dalam dunia jenayah dan dosa. Beliau terlibat dalam aktiviti haram yang akhirnya mengakibatkannya dipenjarakan. Dalam autobiografinya yang ditulis oleh Alex Haley, Malcolm menceritakan hidupnya sebagai seorang pemuda Kulit Hitam yang terpaksa menanggung prejudis perkauman dan penindasan golongan Kulit Hitam dalam masyarakat Amerika. Beliau juga menegaskan bagaimana hidupnya berubah setelah saudara kandungnya memperkenalkannya kepada ajaran yang dibawa oleh Elijah Muhammad. Elijah, pemimpin Nation of Islam (NOI), memperkenalkan mesej yang cuba mmembawa golongan Kulit Hitam di US keluar daripada penindasan perkauman dan juga mentaliti bahawa warna kulit mereka dan bangsa mereka adalah faktor yang memberi mereka status yang hina dalam sistem sosial Amerika.


Menurut Ron Karenga, seorang aktivis Afrika-Amerika terkemuka dalam perjuangan Hak Asasi sekitar 60an hingga 70an, terdapat enam aspek dalam doktrin Nation of Islam, yang diperjuangkan oleh Elijah Muhammad. Aspek pertama dan yang paling utama ialah ‘Islam ialah agama sebenar untuk golongan Kulit Hitam manakala Kristian pula agama untuk musuh iaitu Kulit Putih’. Keduanya, ‘kepercayaan bahawa Allah sebenarnya seorang Kulit Hitam dan orang Kulit Hitam itu tuhan’. Aspek ketiga pula menekankan bahawa Kulit Hitam ialah ‘Golongan Terpilih yang penciptaannya dan asalnya berasaskan kebenaran’. Aspek keempat menggariskan ‘Golongan Kulit Putih sebenarnya syaitan’. Kelima, ‘Pengasingan sosial dan politik daripada golongan Kulit Putih ialah keutamaan yang suci dan mulia’. Aspek keenam teori Elijah menekankan ‘keperluan perpaduan kaum dan dalam Islam di seluruh dunia’. Bertentangan dengan tanggapan yang dicipta oleh Euro-America, beliau berpandangan bahawa semua penduduk negara membangun ditakdirkan untuk bersatu kerana mereka semua berasal dari golongan Kaum Asal (Original People).


Dalam usaha kita untuk memahami perjalanan Malik Shabazz mencari hidayah, perlu bagi kita menyelami usahanya mendalami idea-idea Elijah Muhammad tersebut dan bagaimana hidupnya berubah apabila menemui Islam.

Malcolm X bersama Elijah Muhammad


Sejurus selepas menyertai Nation of Islam (NOI), Malcolm Little menukar namanya kepada Malcolm X dan menjadi seorang penganut yang begitu gigih dan bersemangat memperjuangkan falsafah Elijah Muhammad itu. Kekentalan usahanya berdakwah telah membawanya ke segenap ceruk komuniti Kulit Hitam di US. Malcolm X, sebagai jurucakap kebangsaan NOI, boleh dikatakan pemangkin utama di sebalik penyebaran gerakan agama bangsa Kulit Hitam di peringkat US mahupun di peringkat antarabangsa. Ucapan-ucapannya di pelbagai kolej dan universiti serta di telecisyen dan radio menyemarakkan semangat ribuan pemuda Kulit Hitam yang tinggal di kawasan mundur di US. Ramai dari kalangan pemuda-pemuda ini kemudiannya menerimapakai falsafah NOI lantas menjadi pejuang dan promoter kepercayaan baru mereka itu.


Kegiatan Malcolm bagi pihak NOI tersebut menimbulkan suasana yang cukup hangat di US pada penghujung 50an dan awal 60an. Ini kerana pada ketika itu di US, gerakan-gerakan hak asasi sedang bersungguh-sungguh untuk menghentikan semua polisi berbaur perkauman dalam kehidupan dan masyarakat Amerika. Untuk mencapai matlamat tersebut, satu bentuk gabungan antara Kulit Hitam dan Kulit Putih perlu diwujudkan. National Association for the Advancement of Colored People (NAACP), Urban League dan Southern Christian Leadership Conference yang dibentuk oleh Martin Luther King Jr dan beberapa yang lain adalah antara penyokong kuat usaha ini. Sebelum ini, mereka telah berjaya mengatasi lawan mereka apabila Mahkamah Agung US menghapuskan undang-undang perkauman yang mengasingkan mengikut kaum kemudahan pendidikan untuk 40% kanak-kanak sekolah rendah di negeri-negeri Selatan US. Matlamat gerakan ini bertentangan dengan idea yang dibawa oleh Malcolm dan ketuanya. Malcolm begitu lantang mengisytiharkan kepada Kulit Hitam bahawa “Kulit Putih dan Kulit Hitam tidak boleh hidup bersama-sama dan sebarang usaha untuk bersatu-padu akan membawa kerugian besar kepada Kulit Hitam”.


Mesej ini sentiasa diulang-ulang dalam setiap perbahasan yang berlangsung sepanjang hayat Elijah Muhammad. Walaupun pengikut NOI bukanlah tonggak dalam lingkungan kepimpinan Kulit Hitam, keunggulan dan keaktifan Malcolm telah memberi NOI lebih perhatian daripada apa yang diperlukan. Ramai penganalisis pergerakan hak asasi melihat mesej Malcolm dan NOI sebagai alternatif kepada mesej Martin Luther King yang tidak memilih kekerasan dalam memperjuangkan perubahan. Malah, dalam beberapa majlis, golongan liberal Kulit Putih sentiasa mengingatkan golongan konservatif tentang bahaya yang mengancam masa depan US jika permusuhan antara kaum ini diselesaikan secara ganas. Persepsi terhadap NOI ini, dan jurucakap kebangsaannya iaitu Malcolm X, telah mencemarkan nama pengikut-pengikut yang lain dan mengundang liputan media yang langsung tidak menyebelahi mereka. Media golongan liberal Kulit Putih seperti The New York Times, The Chicago Tribune telah mengecam Malcolm X dengan label-label seperti “penghasut” dan “pencetus masalah”.


Imej tersebut kekal terpalit padanya dan hanya berubah dalam dua tahun terakhir hayatnya. Pada November 1963, berikutan pembunuhan Presiden John F Kennedy, Malcolm telah mengeluarkan satu kenyataan yang akhirnya memisahkan dirinya dan Elijah Muhammad. Beliau dilaporkan dalam satu akhbar US sebagai menyifatkan pembunuhan Presiden itu adalah contoh jelas satu balasan terhadap dosa mereka (masyarakat US) sendiri selama ini (frasa asal: chickens coming home to roost). Bagi Malcolm, masyarakat US ialah masyarakat yang kejam dan kekejaman mereka telah lama ditujukan kepada golongan Kulit Hitam. Kepincangan ini tidak perlu dinafikan lagi kerana hinggakan Presiden sendiri boleh menjadi sasaran pembunuhan yang tidak berperikemanusiaan.


Walaupun Malcolm X cuba untuk menjelaskan maksud sebenar kenyataan itu, pimpinan NOI melihat tindakan itu sebagai satu kegagalannya mematuhi pemimpin agung mereka, Elijah Muhammad. Malcolm telah digantung keahlian selama 90 hari sebagai hukuman dan puak konservatif yg membenci cara kerja Malcolm melihat hukuman itu sebagai peluang untuk terus menjatuhkannya. Kebanyakan spekulasi berkisar kepada perselisihan antara Malcolm dan pembimbingnya, Elijah. Sesetengah penganalisis seperti Karenga menyifatkan perpecahan Malcolm daripada NOI bertitik tolak daripada kedengkian dan persaingan di kalangan ahli-ahli senior pergerakan itu. Penganalisis-penganalisis ini percaya bahawa insiden kenyataan pedas Malcolm itu dimanipulasi sebagai alasan untuk menyingkirkannya; sebab yang sama digunakan oleh pihak berkuasa US untuk memperbesarkan masalah dalaman NOI. Biar apapun penilaian terhadap insiden itu, masa hadapan Malcolm bersama NOI hampir berkubur kerana Elijah sendiri semakin sangsi dengan kesetiaan Malcolm. Ini ditambah lagi apabila rakan-rakan Elijah di Chicago, yang jelas memusuhi Malcolm, mengambil kesempatan ini untuk meluaskan jurang perselisihan dua individu ini.


Pada perspektif seorang penuntut Islam, perkembangan ini menjadi asas kepada kemunculan Malcolm yang baru. Dalam erti kata lain, perselisihan ini membuatkan Malcolm memikirkan dan menilai kembali keseluruhan falsafah perjuangan NOI. Beberapa perubahan besar dalam diri Malcolm berlaku ketika krisis ini berlangsung.


Selepas berpisah dengan Elijah, Malcolm menukar namanya kepada Malik el Shabazz. Gelaran El Hajj ditambah setelah beliau kembali daripada perjalanan menunaikan Haji di Makkah. Malik Shabazz juga telah memilih aliran Sunni Islam sebagai pegangannya. Dengan memilih Sunni, beliau menjadi seorang yang lantang mengkritik bekas ketua dan ajarannya. Dalam beberapa pertemuan umum seluruh US, beliau mengaku mendedahkan banyak kepincangan dan penyelewengan dalam ajaran NOI. Beliau menjelaskan bahawa setelah menemui sinar Islam yang sebenar, beliau akan melakukan apa saja untuk mengajar, menerangkan dan menyampaikan ajaran sahih Islam kepada masyarakat Afrika-Amerika. Misi baru Malik Shabazz ini mendapat sokongan golongan minoriti Sunni Afrika-Amerika yang sebelum ini mengecamnya sebagai agen gerakan yang mensyirikkan Allah (NOI). Bertitik tolak daripada pengembaraannya ke Makkah di mana beliau memerhatikan perpaduan pemimpin-pemimpin Muslim, Malik Shabazz mula membentuk imej baru dalam dunia Islam.

Kesannya, beliau mula memperkenalkan dengan lebih jelas pegangan ortodoks Islam yang sahih di US. Perubahan Malcolm X menjadi pemimpin Muslim ortodoks ini turut menjadi mangkin kepada kelahiran pelbagai pertubuhan Muslim Afrika-Amerika. Tiga daripada pertubuhan ini yang telah mengangkat Malik Shabazz sebagai saudara dan pejuang Islam ortodoks ialah Pergerakan Darul Islam, Islamic Brotherhood, Inc., dan Parti Islam Amerika Utara. Dalam penerbitan al Jihadul Akbar dan al Taqwa pula, penerbitnya iaitu Dual Islam Movement mempertahankan Malik Shabazz daripada kecaman pihak NOI dan pergerakan Nasionalis Kulit Hitam lain yang mendakwa keputusan Malik menyertai komuniti Islam antarabangsa sebagai menyimpang daripada penyelesaian masalah sebenar Kulit Hitam di US. Beberapa artikel turut diterbitkan dalam al Islam, sebuah penerbitan Parti Islam Amerika Utara yang berpusat di Washington serta The Western Sunrise keluaran Islamic Brotherhood, Inc. yang beroperasi dari New York.


Dari satu aspek, penghijrahan Malik Shabazz ini bukan sahaja meletakkan Islam ortodoks pada mata masyarakat, malah dari satu aspek lain, turut menghangatkan lagi konflik dalaman yang membara di kalangan komuniti kecil Afrika-Amerika yang mengaku Muslim. Bagaimanapun, kesan daripada penghijrahan Malik ini telah menjadi asas kepada pemulihan hubungan antara kumpulan Sunni masyarakat Afrika-Amerika dan komuniti imigran Muslim yang semakin bertambah jumlahnya. Sebelum ini, kesatuan komuniti imigran Muslim langsung tidak tersusun malahan pegangan mereka terhadap Islam juga longgar. Mereka terpecah kepada dua serpihan iaitu kumpulan imigran awal yang terdiri daripada mereka yang berasal dari Timur Tengah, Eropah dan Asia Selatan; dan satu kumpulan lagi yang terdiri daripada para pelajar Muslim antarabangsa dari seluruh dunia.


Apa yang pasti, era awal 1960an menjadi satu titik penting dalam sejarah Islam kerana pada masa inilah Sunni ortodoks muncul di khalayak menerusi masjid Malik Shabazz di Harlem dan pelajar muslim antarabangsa mula menubuhkan persatuan-persatuan pelajar Muslim. Perkembangan dua elemen inilah yang menjadi asas kepada apa yang wujud pada hari ini. Pada masa ini, idea Malik Shabazz telah diperkukuh lagi dengan usaha Imam Warith Deen Mohammed, anak dan pengganti kepada Elijah Muhammad. Sejak 1975, Warith Deen telah menukar pergerakan yang diasaskan ayahnya kepada badan yang berasaskan Sunni Islam yang sahih. Tindakan tersebut tidak terlepas daripada bangkangan dan perpecahan oleh golongan senior pergerakan itu. Kesannya, beberapa kumpulan muncul daripada perpecahan itu. Yang pertama dan yang paling utama ialah di bawah pimpinan Warith Deen sendiri. Pendirian kumpulan ini terhadap isu agama dan sekular termaktub dalam penerbitan mereka, Muslim Journal. Kumpulan yang kedua penting ialah NOI yang diberi nafas baru dan dipimpin oleh Louis Farrakhan. Selebihnya dipimpin oleh Silas Muhammad di Atlanta, John Muhammad di Detroit dan Khalifa Emmanuel Muhamad di Baltimore. Sebuah kumpulan baru di New York yang dinamakan Five Percenters juga muncul sebagai sebuah kumpulan yang agak kukuh. Setiap kumpulan serpihan ini kini beroperasi di satu atau lebih bandar-bandar besar US. Pengikut Warith Deen Mohammed pula telah menjadi mata rantai utama yang menghubungkan Muslim Sunni Afrika-Amerika dan kumpulan imigran Muslim di US.


Semua ini telah mengingatkan penulis kepada beberapa perkara mengenai Malik Shabazz setelah mengenang hampir 25 tahun beliau dibunuh.


Beliau seorang yang berani, seorang pemidato yang berkarisma dan sangat fasih. Beliau adalah contoh seorang manusia yang bersungguh-sungguh untuk membawa dirinya keluar daripada belenggu kemiskinan dan kemunduran ilmu, dua masalah utama yang telah meletakkan masyarakat Kulit Hitam US di kelompok terendah masyarakat.


Beliau seorang Afrika-Amerika yang telah melontar dirinya ke barisan hadapan untuk menentang ketidak adilan masyarakat Kulit Putih dengan caranya sendiri yang akhirnya telah membawanya menerokai siapa dirinya. Beliau seorang yang cukup bijak untuk menerima kesilapannya seperti yang ditonjolkan ketika beliau meninggalkan NOI setelah beliau mula sedar pergerakan itu berprinsipkan perkauman semata-mata.


Artikel ini ditulis pada sekitar penghujung 1980an oleh Sulayman S. Nyang (Ph.D.) dan diterbitkan oleh The Message Magazine dalam ruangan Great Muslims of the 20th Century.