Apakah ada kemahiran bersabar dan ada skil memberi ?

Posted by fatahensem | Posted in | Posted on 12:26 AM

Di dalam AlQur’an yang Agung, Allah SWT telah merakamkan perintah solat yang disusuli dengan gesaan supaya menghulur rezeki atau mengeluarkan zakat dalam satu ayat dan jumlahnya kira-kira 30 ayat.
Ianya bermula surah ke 2 ( AlBaqarah)lagi, ayat ke 3, " Iaitu mereka yang beriman dengan yang ghaib, melaksanakan solat, dan yang menginfakkan sebahagian rezekinya yang Kami berikan kepada mereka".


Manakala jika diamati, terdapat 4 ayat berkaitan solat dan diikuti dengan suruhan bersabar. Tidak kurang dari 95 ayat yang berkaitan dengan sifat sabar . Dan sekitar 93 ayat yang menyentuh tentang rezeki.


Pada ayat 13: 22 dan 33: 35, solat, sabar dan berzakat disebut dalam satu ayat.


( artikel ini sudah beberapa minggu ditulis dan disiarkan dengan mengambil sempena mood yang baik untuk memberi ketika Ramadhan yang semakin hampir)


Saya mengajak diri saya dan pembaca sekelian untuk merenung akan tiga unsur utama iaitu solat, infaq (menghulur rezeki) dan sabar yang banyak disebut di dalam AlQuran.


Kita semua sedia maklum bahawa asas hubungan individu itu ialah dengan Allah, dengan manusia lain dan dalam dirinya sendiri.
Solat ialah kaedah langsung dan paling utama hubungan manusia dengan Allah. Mengagihkan rezeki dan berzakat ialah kaedah hubungan sesama manusia. Manakala sifat sabar dan bersabar itu adalah sifat penting dalam diri seseorang.


Ringkasnya, dalam menjaga hubungan dengan Allah, hubungan dengan orang lain dan dalam diri kita ianya bukan teori atau angan-angan, tetapi adalah perbuatan ( bangun kena buat). Suruhan Allah itu secara khusus supaya mendirikan solat, arahan untuk mengagihkan rezeki dan suruhan supaya berlatih bersabar. Ini bermakna ada kaedah dan skil untuk melakukan solat secara terbaik, melatih tabiat suka dan lembut hati untuk memberi serta pasti ada kemahiran untuk bersabar.


Cuba kita fikirkan mengapa solat kerap dikaitkan dengan zakat dan mengagihkan rezeki? Dan mengapa solat juga dikaitkan dengan sabar. Juga fikirkan apakah hubungkait secara timbal balik akan solat, sabar dan mengeluarkan rezeki ini?


Juga kita fikirkan, mengapa Allah menyebut pengagihan rezeki dan berzakat adalah perkara utama untuk menjaga hubungan sesama manusia? Dan fikirkan didalam AlQur'an, seperti ditulis sebelum ini ( AlBaqarah:2) , Allah mulakan dengan menginfakkan rezeki dan tidak disebut berzakat terlebih dahulu?

Juga fikirkan mengapa sifat sabar ini menjadi sebutan terbanyak di dalam Al Qur’an, dan tidak sifat positif yang lain seperti ikhlas, istiqamah dan seumpamanya?


Kita juga mengakui bahawa orang yang solat tidak semestinya dia seorang yang penyabar atau yang pemurah! Begitu juga seorang yang penyabar itu tidak semestinya seorang yang mudah bersedekah.


Kita juga ada melihat orang tidak solat lebih bersifat penyabar, malah segelintir orang kafir ada yang sanggup menghadiahkan wangnya itu kepada orang yang memerlukan!


Kata kuncinya ialah suruhan bersolat , suruhan bersabar dan suruhan menjadi pemurah itu adalah suruhan yang berbeza tetapi di lakukan dalam satu masa. Tetapi orang yang mampu menjaga kualiti dan kuantiti solatnya, maka lebih mudah untuk melatih diri meningkatkan kesabaran dan berjiwa pemberi.


Bagaimana untuk melatih diri lebih bersabar dan perlukah kemahiran untuk menjadi seorang yang murah hati?


Benarkah wang dan rezeki yang lain itu merupakan alat penting dalam berhubungan sesama manusia?


Wang, harta, pendapatan dan pangkat merupakan rezeki yang di idam dan dikejar oleh setiap dari kita. Manusia lebih bahagia bila rezekinya mudah dan murah. Celik dari tidur, manusia sibuk mengurus dunianya untuk mencari dan menambah bekal kehidupan.


Manusia juga amat menghargai jika ada individu lain yang membantunya dalam bentuk wang , pemberian harta atau pekerjaan, berbanding bantuan sekadar dalam bentuk nasihat, tunjuk ajar atau simpati sahaja. Malah jika ada orang menawarkan wang secara percuma, kita akan memilihnya berbanding jika ditawarkan ilmu secara percuma. Dan terbukti jika dalam majlis ceramah agama percuma atau apa-apa acara percuma, dimana akan menjadi janggal jika tidak ada acara makan-minum secara percuma! Juga tidak cukup sekadar bersimpati dengan mereka yang ditimpa bencana, tanpa menghulur bantuan kewangan dan barangan yang lain.


Sejak kecil, kita teruja dengan pemberian barang pemainan yang dibeli oleh ibubapa . Keseronokan itu kadang-kadang masih teruja walaupun kita sudah boleh berdikari.Begitu juga suami- isteri merasa bahagia apabila mendapat sesuatu dalam bentuk barang atau wang dari pasangan masing-masing.


Suka di ulang sebut iaitu selepas solat, perintah utama ialah memberikan rezeki kepada orang lain atau berzakat. Dan Allah tidak menyebut arahan selepas solat seperti arahan supaya bersatu padu, menjaga ukhwah, bernasihat, atau lain-lain perkara untuk menjaga hubungan sesama manusia.


Begitulah Allah Maha arif akan kehendak manusia dan suruhanNya itu sangat bersesuaian dengan tabiat dan naluri setiap manusia yang melihat rezeki itu sebagai faktor utama untuk hidup.


Mesej yang penting ialah alat untuk bermasyarakat ialah melalui wang dan harta. Dengan kata lain, untuk hebat menjaga hubungan sesama manusia, antara wadah utamanya ialah yang berkaitan dengan wang ringgit dan kebendaan. Antara bahasa yang biasa disebut,” Jangan setakat bantu dengan ‘air liur sahaja’, hulur-hulurlah… .”


Untuk memberi sebahagian rezeki kepada orang lain bukan pekara mudah. Orang yang perwatakannya warak belum tentu warak untuk bersedekah. Begitu juga segelintir dari mereka yang istiqamah solat, liat atau ambil mudah untuk menjelaskan zakat harta, pendapatan atau perniagaannya.


Ada mufasirin menafsirkan mengagihkan rezeki itu bukan kepada orang lain sahaja, tetapi bermula dari tanggungan keluarga sendiri, kerabat terdekat dan kenalan. Dan bukan setakat pemberian rezeki dalam bentuk wang atau makanan sahaja, tetapi dalam bentuk kediaman, alatan keperluan harian, kenderaan atau bahan-bahan ilmu. Pemberian itu boleh dalam bentuk pemberian terus atau pemberian sementara.


Banyak faktor untuk mendorong seseorang menderma. Agaknya apakah yang mendorong banyak sekolah Cina boleh hidup berdikari dan kutipan derma dari PIBGnya mencecah jutaan ringgit? Berbanding sekolah orang Melayu yang beriman dengan ganjaran pahala, tetapi mengeluh apabila setiap kali boring derma diedarkan dan banyak sekolah agama khasnya dalam kedaifan.


Juga cuba fikirkan, derma untuk rakyat Palestin pada awal tahun ini mencurah-curah selepas Gaza diserang, tetapi kini semakin senyap untuk menderma? Sedangkan rakyat Palestin masih menderita.


Agaknya dalam minda kita pernahkah terfikir pendapatan bulanan atau wang dalam kocek kita berapa peratus bukan untuk diri dan bukan untuk keluarga kita pada bulan ini!


Pernah seorang sahabat yang agak ragu-ragu untuk bersedekah kerana merasakan dia lebih memerlukan, tetapi Nabi SAW menasihatkannya supaya berikan sahaja, kerana yakinlah Allah akan mengantikan rezeki yang sudah dikeluarkan. Dan kisah tersohor, Saidina Abu Bakar yang kaya itu menginfaqkan hartanya untuk Islam, yang tinggal Allah dan Rasulnya. Masih segar dalam ingatan saya seorang usahawan berjaya yang merasakan rezekinya semakin sempit apabila dia berkira dengan Ibubapanya dalam soal kewangan.


Ikhlas itu boleh dipaksa dan paksa diri dalam menderma juga adalah satu latihan. Maka alergiklah bila melihat tabung-tabung derma di surau-masjid , alergik untuk menderma. Paksa diri memberi akan melembutkan ego dan melembutkan hati. Sebaik-baik pemberian ialah secara senyap dan ada derma yang boleh di war-warkan untuk sesuatu tujuan positif.
Apa pula maksud latihan dan skil untuk memberi, sehingga si kafir itu lebih hebat infaknya dan lebih teruja untuk berkebajikan?

Comments (0)