Persaudaraan Islam: Hakikat dan Adab-Adabnya

Posted by fatahensem | Posted in | Posted on 6:09 AM






Persaudaraan Islam adalah persaudaraan yang istimewa. Ini adalah persaudaraan yang tidak terikat oleh kaum, kewarganegaraan, asal-usul ataupun keturunan.

Ini adalah persaudaraan yang diikat oleh tauhid. Setiap insan yang beriman kepada Allah, maka mereka semua adalah saudara untuk satu dengan yang lain.
Allah azza wajal telah memberitahu kepada kita bahawa persaudaraan sesama mukminin adalah satu perintahNya. FirmanNya: "Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara.." (Al-Hujuraat: 10)

Persaudaraan Islam adalah sesama muslim sahaja. Tapi ini tidak bermakna kita boleh menterhadkan saudara seislam kita hanya dengan mereka yang rapat dengan kita, atau dengan mereka yang sama-sama dalam jemaah kita. Ini adalah satu pemahaman yang keliru.

Sesiapa sahaja yang beragama Islam adalah dikira sebagai saudara kita, dan kita wajar berakhlak dengan mereka sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya.

Rasulullah s.a.w juga telah memerintahkan kepada kita agar kita tidak mengambil orang kafir sebagai sahabat: "Janganlah engkau bersahabat kecuali dengan orang mukmin" (Ahmad, Abu Daud, Ibnu Hibban. Lihat: Sahihul Jami')

Jadi tidak dibenarkan bersahabat dengan orang kafir, kecuali hanya sekadar kenalan, dituntut untuk berbaik-baik dan berlaku adil kepada mereka serta hanya membantu mereka untuk hal-hal yang baik sahaja. Allah ta'ala berfirman: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil." (Al-Mumtahanah: 8)

Sesungguhnya bersikap ihsan dalam segala hal adalah satu tuntutan agama.


Adab-Adab Persaudaraan Islam

Terdapat banyak adab yang dituntut dalam Al-Quran dan As-Sunnah berkenaan hal ini. Di sini saya cuba sertakan beberapa daripadanya.


1. Khabarkan kepada saudaranya bahawa dia mencintainya kerana Allah

Berkenaan dengan hal ini, mari kita renungi sabda Rasulullah s.a.w: "Jika salah seorang daripada kamu mencintai saudaranya, hendaklah ia memberitahu kepadanya bahwa dia mencintainya" (Ahmad, Abu Daud, Al-Hakim, Ibnu Hibban. Lihat: Sahihul Jami')

Dalam hadith yang lain, ada disebut "mencintainya kerana Allah" (uhibbuhu fillah). Lihatlah akhlak yang mulia ini, cukup indah sekali! Syeikh Abdul Aziz Fathi As-Sayyid Nada memberi komen tentang hal ini: "Selayaknya seorang muslim tidak merasa segan atau malu untuk menghidupkan sunnah Nabi musthofa s.a.w, menyebarkannya dan menampakkannya di tengah-tengah manusia. Bahkan, ini merupakan amal soleh yang sangat agung, yang akan terus mengalirkan pahala baginya." (Mansuu'atul Aadaab Al-Islamiyyah)


2. Mengucapkan salam

Hal ini ada disebutkan dalam hadith berikut, telah bersabda Rasulullah s.a.w: Hak muslim atas muslim yang lainnya ada enam. Para sahabat bertanya: "Apa sahaja, wahai Rasulullah?. Berkata Rasulullah s.a.w: "Ucapkan salam jika berjumpa denganya. Jika ia mengundang kamu, maka penuhilah undangannya. Jika dia meminta nasihat, maka berilah nasihat. Jika dia bersin dan memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah), maka ucapkanlah tasymit (Yarhamukumullah). Jika ia sakit, maka jenguklah dia. Jika dia meninggal dunia, maka iringilah jenazahnya" (Muslim)

Ucapkan salam adalah perkara pertama yang disebut dalam enam hak muslim kepada muslim yang lainnya. Sebab itu sangatlah kita perlu membiasakan memberikan ucapan salam dan membalasnya. Ucapkan ia dengan penuh keikhlasan dan bersungguh-sungguh.



3. Memenuhi undangan

Berdasarkan hadith di atas tadi, ada disebut bahawa memenuhi undangan adalah hak yang perlu disempurnakan. Sekalipun kita berpuasa, kita harus cuba memenuhi undangan yang diterima. Rasulullah s.a.w bersabda: "Jika salah seorang daripada kamu diundang, hendaklah ia memenuhi undangan tersebut. Jika dia sedang berpuasa (sunnah), hendaklah ia mendoakan pihak pengundang. Jika dia tidak berpuasa, maka makanlah" (Muslim)

Namun demikian, sekiranya kita benar-benar tidak mampu untuk hadir, seperti tidak sihat ataupun kerana berada terlalu jauh daripada majlis undangan hingga mustahil untuk dapat hadir, sebaiknya maklumkan kepada tuan rumah tentang hal ini dan kemudian bolehlah untuk tidak hadir. Selain itu, menurut penjelasan Al-Ustaz Abu Bakr Jabir Al-Jazairi, jika majlis tersebut boleh memberi mudarat kepada agama atau tubuh badan seseorang, maka undangan tersebut boleh ditolak. (Minhajul Muslim)



4. Memberi nasihat jika diminta

Ini adalah satu tuntutan yang jelas, ia disebutkan sebagai hak yang ketiga dalam hadith enam hak muslim tadi. Jangan sesekali kita mengabaikan saudara seaagama kita yang meminta nasihat daripada kita, berilah nasihat semampunya. Jika kita betul-betul tidak mampu, atau tidak tahu apa yang boleh kita nasihatkan, bolehlah kita cuba untuk merujuk masalah saudara kita itu kepada pihak yang selayaknya, jika saudara kita itu sudi untuk berbuat demikian.



5. Mengucapkan tashmit ketika saudaranya bersin

Mengucapkan tashmit adalah hak yang keempat disebut dalam hadith enam hak muslim tadi. Tashmit bermaksud ucapan "yarhamukallah" (semoga Allah merahmati kamu). Apabila seseorang muslim bersin, dia dituntut untuk mengucapkan "Alhamdulillah". Orang yang mendengar hal itu perlu mengucapkan tashmit. Setelah itu, orang yang bersin perlu mengucapkan "yahdikumullahu wa yuslihu baalakum" (semoga Allah memberi hidayah dan memperbaikkan keadaan diri kamu). Hal ini ada disebut dalam hadith sahih, riwayat Al-Bukhari. Jika orang yang bersin tidak mengucapkan Alhamdulillah, maka tidak perlu ucapkan tashmit. Rasulullah s.a.w bersabda: "Jika seorang daripada kalian bersin kemudian memuji Allah, maka ucapkanlah tasymit kepadanya. Jika dia tidak memuji Allah, maka jangan kamu ucapkan tashmit kepadanya." (Muslim)



6. Menjenguk saudaranya ketika dia sakit

Ini adalah hak kelima disebutkan dalam hadith hak muslim tadi. Menziarahi saudara muslim yang sakit adalah satu adab yang begitu bernilai. Renungi hadith-hadith berikut: "Barangsiapa menjenguk orang sakit maka ia tetap berada di khurfatul jannah sampai dia kembali. Para sahabat bertanya: "Apa itu khurfatul jannah wahai Rasulullah?" Baginda s.a.w menjawab: 'Janaaha' (kebun yang sedang berbuah di syurga)" (Muslim)


"Tidaklah seorang muslim menjenguk saudaranya sesama muslim yang sakit di pagi hari, melainkan 70000 malaikat akan mendo'akannya sampai waktu petang. Apabila dia menjenguknya di waktu petang, maka 70000 malaikat akan mendo'akannya sampai waktu pagi. Dia pun akan mendapatkan taman di syurga" (Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah. Menurut Tirmidzi, hadith ini hasan)

Pendek kata, orang yang menziarahi orang sakit bakal mendapatkan taman di syurga. Ada persoalan di sini, bolehkah seorang lelaki menjenguk wanita yang sakit, dan sebaliknya? Jawapannya, boleh, selagi mana tidak ada fitnah dan pertemuan itu berlangsung dengan menahan pandangan. Imam Al-Bukhari berkata: "Ummu Darda' (seorang sahabat wanita) menjenguk seorang lelaki penjaga masjid kaum Ansor". Malah dalam kitab hadithnya, Imam Al-Bukhari telah membuat bab khusus tentang hal ini, tajuknya bab "Iyaadatun Nisaa' Ar-Rajula" (Wanita menjenguk lelaki). Rasulullah s.a.w pernah menjenguk seorang sahabat wanita bernama Ummul A'la, lalu baginda berkata kepadanya: "Bergembiralah wahai Ummul A'la, sesungguhnya penyakit seorang muslim akan menghapuskan doasa-dosanya seperti api yang dapat menghilangkan kotoran emas dan perak" (Abu Daud dan At-Thabarani. Lihat: As-Sahiihah)



7. Mengiringi jenazah saudara seislam

Jangan kita abaikan sunnah ini. Jika ada sahabat kita yang meninggal dunia, maka ikutilah jenazahnya dari mandi, solat dan pengebumian. Setelah dia ditanam, kita dituntut untuk mendoakannya. Rasulullah pernah berkata kepada para sahabat setelah selesai proses pengebumian seorang sahabat yang telah meninggal dunia: "Mohonlah keampunan untuk saudaramu dan mohonlah keteguhan hati baginya, kerana sekrang dia sedang ditanya" (Abu Daud dan Al-Hakim. Disahihkan oleh Al-Hakim, dipersetujui oleh Az-Dzahabi. Lihat Sahiihul Jami')

Hadith ini juga menjelaskan kepada kita bahawa doa kepada si mati itu boleh sampai kepadanya, selagi si mati semasa hidupnya beriman kepada Allah. InsyaAllah.



8. Mendoakan saudara seagama

Berdoa untuk kebaikan saudara seislam bakal memberi manfaat yang besar untuk diri kita, ini kerana berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w: Tidaklah seorang muslim mendoakan saudaranya yang tidak berada di sisinya, melainkan berkata para Malaikat: Dan bagi kamu seperti apa yang kamu doakan" (Muslim)

Maksudnya, kalau kita mendoakan sesuatu untuk seorang muslim yang lain, Malaikat akan mendoakan hal yang sama untuk kita. Bukankah ini sesuatu yang menguntungkan, para Malaikat mendoakan kita? Siapa tidak mahu? Oleh itu, banyakkan berdoa untuk sahabat-handai kita yang beragama Islam, semoga Allah merahmati anda atas amal yang mulia ini.



9. Saling memberi hadiah sesama muslim

Hadiah merupakan aspek khusus dalam persaudaraan yang ada ditekankan dalam Islam. Islam menggalakkan memberi hadih kepada muslim yang lain, dan melarang menolak penerimaan hadiah kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu. Hal ini akan dibincangkan kemudian. Berkenaan dengan memberi hadiah, jelas disebut dalam hadith Rasulullah s.a.w: "Saling memberi hadiahlah sesama kamu, maka kamu akan saling mencintai" (Bukhari) Berkenaan dengan larangan menolak hadiah, ada disebut dalam hadith Rasulullah s.a.w berikut: "Penuhilah undangan orang yang mengundang dan janganlah menolak hadiah.." (Bukhari, Ahmad, At-Thabrani dan Al-Baihaqi. Lihat: Sahiihul Jami')

Namun demikian, terdapat dalam sesetengah keadaan kita dilarang untuk menerima hadiah. Para pegawai atau yang penguasa tidak boleh menerima hadiah daripada orang di bawah kuasanya. Rasulullah s.a.w bersabda: "Hadiah-hadiah yang diberikan kepada pengurus (pegawai) adalah pengkhianatan" (Ahmad dan Al-Baihaqi. Lihat: Sahiihul Jami')

Dalam satu peristiwa, seorang pegawai yang dikirim Rasulullah s.a.w datang membawa sedekah yang diserahkan oleh masyarakat. Kemudian sambil membahagikan sedekah itu, dia berkata: "Ini bahagian kamu dan ini bahagian saya". Maka dari itu, Rasululah s.a.w terus naik ke mimbar, setelah mengucapkan pujian kepada Allah baginda bersabda: "Mengapa ada pegawai yang kami kirim lalu ia berkata: 'Ini bahagian kamu dan ini adalah bagian saya'. Mengapa dia tidak duduk saja di rumah bapa dan ibunya? Apakah hadiah itu diberikan kepadanya atau tidak? Demi jiwa Muhammad yang jiwanya berada di tanganNya, tidaklah salah seorang daripada kamu menerima hadiah itu, melainkan pada hari Kiamat dia akan membawa hadiah tersebut di atas tengkuknya.." (Bukhari dan Muslim)

Pemberian hadiah kepada orang yang berkuasa atau ketua baginya boleh menjurus kepada rasuah. Jika kita dilantik sebagai orang berjawatan dalam masyarakat, tolaklah hadiah yang diterima dengan baik-baik. Sebagai orang bawahan, elakkan memberi hadiah kepada orang mempunyai kuasa ke atas kita. Di sini timbul isu, adakah boleh memberi hadiah kepada seorang guru? Sekiranya kita terikat dengan guru tersebut sebagai sebab untuk kita cemerlang peperiksaan, maka elakkan memberinya. Jika sudah tidak terikat lagi dengan guru (tamat belajar), bolehlah memberi hadiah kepadanya.

Pendek kata, elakkan memberi hadiah yang boleh memberikan keutamaan kepada diri kita, sekalipun kita tidak berniat untuknya. Kita khuatir kita melakukan rasuah, walau sengaja ataupun tidak. Rasuah menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman kepada orang ramai, sebab itu ia harus dihindari dengan apa jua cara yang ada. Begitu juga, jika seorang guru mendapat hadiah khusus daripada seorang anak muridnya, sebaiknya hindarilah untuk menerimanya. Hanya jika semua sekali anak muridnya berpakat beramai-ramai berkongsi memberi hadiah kepadanya, hadiah ini lebih selamat untuk diterima sebab elemen kepentingan peribadi sudahpun dihapuskan. Wallahu a'lam.

Prinsipnya, jika dengan menerima atau memberi hadiah berpotensi menyebabkan berlaku ketidakadilan kepada yang orang lain, maka elakkanlah memberi atau menerima hadiah tersebut. Selain itu, kita juga dilarang untuk menerima hadiah yang syubhah ataupun hadiah yang haram, baik keharamannya kerana rasuah ataupun kerana hadiah itu sendiri (mendapat hadiah arak, bahan maksiat dan lain-lain). Hal ini tentu jelas difahami oleh semua.



10. Menutup keaiban saudaranya

Apabila kita menutup aib saudara kita, maka Allah akan menutup keaiban kita di akhirat nanti. Telah bersabda Rasulullah s.a.w: "Barangsiapa menutup keaiban saudaranya di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di hari Kiamat" (Bukhari dan Muslim)

Adakah kita mahu keaiban kita di dunia didedahkan di akhirat nanti? Sudah tentu tidak. Oleh itu, lindungilah keaiban saudara kita yang lain. Jangan mengumpatnya, jangan hebahkan keburukannya, sembunyikan itu semua! Tetapi, sebarkanlah kebaikan saudara kita, itulah akhlak yang dituntut bagi seorang muslim.



11. Tidak memboikot saudaranya (tidak lebih tiga hari)

Hal ini jelas dilarang oleh Rasulullah s.a.w dalam hadith berikut: "Tidak halal bagi seorang Muslim memboikot saudaranya lebih dari tiga hari. Jika keduanya berjumpa, maka yang satu berpaling dan yang lain juga berpaling. Yang paling baik di antara kedua mereka adalah yang terlebih dahulu mengucapkan salam" (Bukhari dan Muslim)

Apa yang diceritakan dalam hadith ini memang cukup cantik. Ia menggambarkan dua orang muslim yang berselisih, tidak mahu bertegur-sapa, atau saling memboikot. Kemudian Rasulullah s.a.w menjelaskan, haram untuk berbuat demikian lebih daripada tiga hari. Pada pemahaman saya, ada hikmahnya diberikan tempoh tiga hari, mungkin dalam tempoh tersebut kemarahan sudah berkurangan dan mudahlah untuk mereka saling bermaafan. Hadith ini menunjukkan Rasulullah s.a.w cukup memahami emosi manusia, sebab tidak semua orang mudah reda kemarahannya. Wallahu 'alam.

Kemudian baginda menyambung lagi, yang paling baik antara dua orang yang berselisih ini adalah mereka yang terlebih dahulu memberi salam. Ini turut menggambarkan keutamaan memberi salam kepada saudara seislam, sekalipun mereka sedang berselisih faham.



12. Lain-lain

Selain ini terdapat beberapa lagi adab-adab, tetapi saya tidak mampu untuk berkongsi tentangnya di kesempatan ini. Mungkin di waktu lain, insyaAllah. Saya berdoa kepada Allah ta'ala agar memberikan kita semua kelestarian ukhwah, dan agar kita dapat saling mencintai keranaNya. Kepada Allah saya memohon ampun sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

Wallahu a'lam


Artikel ini diambil daripada http://zuhairizainuddin.blogspot.com/

Comments (0)